Pendahuluan
karangan sangat penting kerana memberi gambaran awal
tentang kematangan
penulisan. Terdapat beberapa jenis
pendahuluan dalam
karangan.
1. Pendahuluan Jenis Definisi
2. Pendahuluan Jenis Pendapat
3. Pendahuluan Jenis Suasana
4. Pendahuluan Jenis Persoalan
5. Pendahuluan Jenis Peribahasa
6. Pendahuluan Jenis Sejarah
Tajuk : Isu Penderaan (Pendahuluan Jenis
Definisi)
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau
alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan
alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan
mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan
berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak
terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada
kanak-kanak.
Tajuk : Kepentingan
Bahasa Inggeris ( Pendahuluan Jenis Pendapat)
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan
bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan
perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan
ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu,
kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam
sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau
kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.
Tajuk : Gambaran Tentang
Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus
Apabila saya sampai di tempat
kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu.
Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik
yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan
penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk
melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba
untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu
dapat diselamatkan.
Tajuk : Isu Kemalangan
Jalan Raya ( Pendahuluan Jenis Persoalan)
Tahukah anda bahawa hampir setiap
hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal
ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang
patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya,
apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Tajuk :Rencana
"Perpaduan Asas Kemajuan" (Pendahuluan Jenis Peribahasa)
Masyarakat Malaysia khususnya
orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara
peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah,
hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur
sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu
sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam
masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas
kemajuan sesebuah negara.
Tajuk: Kemerosotan Sukan
Bola Sepak ( Pendahuluan Jenis Sejarah)
Pada tahun 1972, pasukan bola
sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak
sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila
pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun
1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita
setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian,
apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang
ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?
No comments:
Post a Comment