Showing posts with label Kata Adjektif. Show all posts
Showing posts with label Kata Adjektif. Show all posts

Sunday, February 24, 2013

Tatacara penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan

Tatacara penggunaan

 kata adjektif berkaitan perasaan



PERKATAAN sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.
Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya. 




Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:




1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.
(b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.




2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.
(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.




3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.
(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.





4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.
(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.
(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.



Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'. 




Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya. 




Oleh yang demikian, 
salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:




1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..



2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.



3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.



4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.



Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai. 



Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.




Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan. 




Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:





5. Latifah rindu akan kekasihnya.



6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.



7. Rosnita merindukan kampung halamannya.



Frasa sendi rindu akan tidak boleh
 menjadi *rindukan seperti dalam ayat: 





(9) *Pungguk rindukan bulan. 




Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu
 tidak dapat menerima akhiran -kan
 (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu
 melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu
 perlu menerima kata sendi 'akan'. 





Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat
(10) Pungguk merindukan bulan.






Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula. 






Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif. 





Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti: 





(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu. 




dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.




Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut: 




(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.
Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah




(12) Saya takut akan kanak-kanak itu. 




Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.




Perhatikan perbezaan
 ketiga-tiga ayat berikut ini:



(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.


(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.


(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.


Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan.




 Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.




Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130218/pe_02/Tatacara-penggunaan-kata-adjektif-berkaitan-perasaan#ixzz2LnUzSvDB
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

Wednesday, November 21, 2012

Kata Adjektif


Kata Adjektif
 
 
Kata adjektif menerangkan sifat atau keadaan bagi suatu kata nama atau frasa nama.
Kata adjektif disertai dengan kata keterangan amat, paling dan sangat. Menurut
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata adjektif dapat dibahagikan kepada sekurang-
kurangnya sembilan kumpulan berdasarkan makna perkataannya, iaitu:
 
 
Kata Adjektif Maksud Contoh
1. Kata Adjektif Sifat
    Keadaan
Menerangkan sifat atau keadaan Cerdik, bijak, cantik, rajin.
2. Kata Adjektif
    Warna
Menerangkan warna Biru, merah, kuning, hijau, putih
3. Kata Adjektif
    Ukuran
Menerangkan ukuran Tebal, nipis, tinggi, rendah, panjang, pendek.
4. Kata Adjektif
    Bentuk.
Menerangkan bentuk atau rupa. Bulat, bujur
5. Kata Adjektif
    Waktu.
Menerangkan konsep masa Baru, lambat, lama, lewat, silam.
6. Kata Adjektif
    Jarak
Menerangkan konsep ruang antara dua benda atau keadaan. Jauh, dekat.
7. Kata Adjektif
    Cara
Menerangkan keadaan kelakuan atau ragam. Pantas, perlahan, jarang.
8. Kata Adjektif
    Perasaan
Menerangkan konsep perasaan. Pemalu, ragu-ragu, rindu, sayang.
9. Kata Adjektif
    Pancaindera.
Menerangkan konsep rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. Bising, wangi, kasar, masam, pahit, manis, licin.


Perbandingan Dalam Frasa Adjektif


Perkataan yang digunakan dalam perbandingan
frasa adjektif adalah seperti, se, lebih, paling, ibarat dan laksana.

Contoh ayat


1. Amira pandai.
 
2. Amira pandai seperti Kancil.
    (pandai seperti membawa maksud hampir sama, kesamaan)
 
3. Amira sepandai Nora.
    (sepandai membawa maksud sama)
 
4. Amira lebih pandai daripada Nora.
    (lebih pandai menunjukkan darjat / tingkat yang lebih)
 
5. Amira paling pandai dalam kalangan murid di dalam kelas 1 Biru.
    (kata penguat paling menunjukkan sangat pandai). 

Mengikut Tatabahasa Dewan, terdapat tiga darjah perbandingan kata adjektif iaitu darjah biasa, darjah bandingan dan darjah penghabisan. 



Perbandingan dengan darjah biasa

Perbandingan dengan darjah biasa tidak melibatkan kata penguat / kata perbandingan. Kata adjektif cantik, besar dan rajin tidak dibandingkan dengan sesuatu.

1. Rumah ini cantik.
 
2. Dewan itu besar.
 
3. Dia rajin


Perbandingan dengan darjah bandingan

Dalam Tatabahasa Dewan, penggunaan awalan se- untuk menyatukan darjah bandingan. Kata adjektif awalan se- menunjukkan bandingan sama.


1. Wajah  Sujinah secantik ibunya.
 
2. Buku ini tidak semahal buku itu.
 
3. Kereta Amin sebesar kereta Azman.

Awalan se- membawa maksud ‘sama atau hampir sama’. 
Kata Adjektif dibandingkan dengan benda lain yang membawa maksud mirip / sama. 

1. Dia garang seperti harimau.
 
2. Amira cantik seperti bidadari.