Sunday, November 25, 2012

17 Nilai Murni

Apakah nilai murni yang terdapat dalam gambar di atas?

 
 
Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni beserta ulasannya.


1.
Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2.
Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3.
Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4.
Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5.
Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6.
Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7.
Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8.
Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9.
Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10.
Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11.
Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12.
Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13.
Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14.
Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15.
Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16.
Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17.
Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.

 
 
 

Simpulan Bahasa




SIMPULAN BAHASA


Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah. 
Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata
 yang membawa maksud yang tepat dan padat.
Di bawah ini ialah contoh simpulan bahasa berserta maknanya.
Selamat membaca!

 

ada angin  =  berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati  = mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu
 

air muka  = rupa atau wajah seseorang
 
ajak-ajak ayam  = tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
 
ada bakat  = mempunyai tokoh atau perwatakan
 
alas perut  = makanan yang dimakan untuk sementara waktu sebelum memakan makanan yang  mengenyangkan
 
anak angkat  = anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri
 
anak bapa  = anak yang disayangi oleh bapa
 
anak buah  = orang yang di bawah jagaan seorang ketua atau anak saudara
 
anak emas  = anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya
 
angkat kaki  = meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab
 
atas angin  = negara-negara di sebelah barat
 
atas pagar = tidak menyebelahi mana-mana pihak
 
ayam tambatan  = orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan
 
bahasa pasar  = bahasa Malaysia yang tidak betul tatabahasanya
 
banyak mulut  = orang yang banyak bercakap
 
batu api  = orang yang suka menghasut
 
batu loncatan = sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati
 
bau-bau bacang  = tali persaudaraan yang jauh
 
bawah angin  = negara-negara di sebelah timur
 
bekas tangan  = hasil kerja tangan seseorang
 
beralih akal  = berubah fikiran atau pendapat
 
beralih angin  = pergi ke sesuatu tempat untuk berehat
 
berat hati  = enggan; malas
 
berat mulut  = pendiam atau tidak suka bercakap banyak
 
berat tulang  = orang yang malas bekerja
 
berat sebelah  = tidak berlaku adil
 
berbelah bagi = sukar untuk membuat keputusan
 
berhati batu  = degil dan sukar menerima nasihat
 
berhutang budi  = patut membalas kebaikan seseorang dengan kebaikan juga
 
bermuka dua  = tidak jujur
 
bertikam lidah  = bertengkar; berdebat
 
besar hati  = bergembira atau berbangga akan sesuatu
 
besar kepala  = degil; sukar menerima pandangan orang lain
 
buah hati  = orang yang dikasihi atau dipuja
 
buah mulut  = sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
 
buah tangan  = hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
bulat hati  = bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu; sudah nekad
buruk siku  = mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain
 
buta hatitidak dapat menerima pengajaran; zalim; kejam
 
cahaya mata = anak
 
cakar ayam  = tulisan yang buruk
 
campur tangan  = turut serta atau mencampuri urusan orang lain
 
cari jalan  = berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
 
cepat tangan  = suka mencuri
 
dalam tangan  = sudah pasti akan diperoleh
 
darah daging  = anak kandung
 
durian runtuh  keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka
gaji buta  = mendapat gaji tanpa perlu bersusah payah atau bekerja bersungguh-sungguh

gelap mata  = hilang pertimbangan kerana terpengaruh oleh wang atau harta
harga diri  = maruah atau kehormatan seseorang
 
harga mati  = harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi
 
hati batu  = degil atau keras hati
 
hidung tinggi  = sombong atau tinggi diri
 
hilang akal  = tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat; hilang pertimbangan diri
 
ikat perut  = menahan lapar kerana berjimat
 
iri hati  = menyimpan perasaan dengki atau cemburu
 
isi hati  = perasaan dalam hati
 
jalan buntu  = tidak ada jalan penyelesaian
 
kacang hantu  = orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain
 
kaki ayam  = tidak berkasut atau berselipar
 
kaki bangku  = tidak berkebolehan bermain bola
 
kaki botol  = suka minum minuman keras
 
kecil hati  = berasa tersinggung atau merajuk
 
kepala angin  = perangai yang tidak menentu
 
kepala batu  = degil dan tidak mendengar nasihat
 
kera sumbang  = orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain
 
khabar angin  = berita yang belum tentu benarnya
 
langkah kanan  = bernasib baik
 
langkah seribu  = cepat-cepat lari kerana ketakutan
 
lidah bercabang  = kata-kata yang tidak dapat dipercayai
 
lipas kudung  = cepat membuat kerja
 
lintah darat  = mengambil keuntungan berlebihan atas pinjaman yang diberikan
 
makan angin  = bersiar-siar untuk berehat
 
makan suap  = menerima rasuah
 
malu-malu kucing = berpura-pura malu di hadapan orang
 
mandi peluh  = bekerja kuat
 
mati katak  = mati dengan sia-sia
 
membabi buta  = melakukan sesuatu tanpa berfikir
 
membawa diri  = tahu menjaga diri
 
membuka jalan  = memberi laluan kepada orang lain
 
membuka tembelang  = menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain
 
memeras otak  = terlalu kuat berfikir atau belajar
 
menarik diri  = tidak turut serta; meletak jawatan
 
mencari jalan  = berusaha untuk melakukan sesuatu
 
mencuci mata  = gembira memperhatikan sesuatu yang indah
 
mencuit hati  = lucu; menggelikan hati
 
mengabui mata  = cuba memperdaya; menipu
 
mengadu domba  = memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya
 
mengambil angin  = bersiar-siar untuk berehat
 
mengambil berat  = memberi sepenuh perhatian
 
mengambil hati  = dapat memikat atau mempengaruhi
 
mengasah bakat  = latihan untuk mengembangkan bakat
 
muka tembok  = tidak berasa malu
 
mulut murai  = kuat bercakap atau berbuat bising
 
mulut tempayan  = tidak dapat menyimpan rahsia
 
murah hati  = suka berderma; tidak kedekut
 
naik angin  =  terlalu marah
 
nyawa-nyawa ikan  = hampir-hampir mati
 
orang atasan  = orang yang berpangkat tinggi
 
otak cair  = pintar atau bijak
 
otak kering  = kurang siuman
 
otak udang  = bebal atau bodoh
 
paku belanda = barangan yang tetap harganya
 
panas hati  = meradang atau marah
 
panjang tangan  = suka mencuri
 
pasang telinga  = mendengar dengan teliti
 
pekak badak  = kurang jelas pendengarannya; tidak dapat mendengar bunyi yang kuat
 
pembasuh mulut  = makanan atau minuman yang dihidangkan selepas makan nasi
 
perang mulut  = pertengkaran
 
pilih kasih  = memberi layanan yang lebih kepada orang yang disukai
 
pisau cukur  = perempuan yang suka menghabiskan harta benda lelaki
 
puteri lilin  = tidak tahan terkena panas matahari
 
putih hati  = ikhlas; jujur
 
putih mata  = mengalami kekecewaan
 
rabun ayam  = penglihatan yang kurang jelas
 
rambang mata  sukar membuat pilihan
 
ringan tangan  = suka membuat kerja: menolong orang
 
sampai hati  = tergamak melakukan sesuatu kerja
 
serkap jarang  = membuat tuduhan secara agak-agak atau tanpa usul periksa
 
tangan terbuka  = menyambut sesuatu dengan senang hati
 
tangkai jering  = orang yang kedekut
 
tawar hati  = tidak mempunyai minat lagi
 
tebal muka  = tidak tahu malu
 
telinga kuali  = tahan hati menerima kemarahan
 
telinga lintah  = tajam pendengaran
 
telinga nipis  = cepat marah atau meradang
 
terang hati  = mudah memahami sesuatu
 
tidur-tidur ayam = tidur yang tidak nyenyak
 
tin kosong  = bercakap besar tanpa ilmu
 
titik peluh  = hasil usaha yang bersungguh-sungguh


Pesanan : 

Murid-murid digalakkan membina ayat daripada simpulan bahasa

 yang diberi agar dapat membantu murid-murid lebih memahami dengan baik

 maksud simpulan bahasa berdasarkan peribahasa yang diberikan.



 

Rangka Karangan



BAHAGIAN B


 
[ Masa dicadangkan 40 minit]
 
Sahabat pena kamu bertanya tentang keistimewaan kampung kamu.
Tulis sepucuk surat kepadanya dengan menceritakan keindahan semulajadi kampung kamu.

 

Pendahuluan
 
 
-menanyakan khabar darinya – menyatakan keadaan diri kamu.



Isi Penting
 
 
i. memberitahu bahawa suratnya telah diterima – mengucapkan terima kasih
 
 
ii. menyatakan kampung kamu banyak keistimewaannya – bebas daripada pencemaran – keadaan alam sekitarnya sangat indah dan nyaman
 
 
iii. ada anak sungai dan tasik – air sungai jernih – sesuai untuk mandi-manda
 
 
iv. terdapat banyak ikan di tasik – dijadikan kawasan memancing dan menahan jaring – ikan air tawar sangat enak dimakan



Penutup
 
 
-mempelawa sahabat berkunjung – mengucapkan terima kasih 
 
 
 
 

Jenis Pendahuluan Sebuah Karangan


 
 
Pendahuluan karangan sangat penting kerana memberi gambaran awal 
tentang kematangan penulisan. Terdapat beberapa jenis
 pendahuluan dalam karangan.


1. Pendahuluan Jenis Definisi
 
2. Pendahuluan Jenis Pendapat
 
3. Pendahuluan Jenis Suasana
 
4. Pendahuluan Jenis Persoalan
  
5. Pendahuluan Jenis Peribahasa
 
6. Pendahuluan Jenis Sejarah


 

Tajuk : Isu Penderaan (Pendahuluan Jenis Definisi)

 
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.



Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris ( Pendahuluan Jenis Pendapat)


Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.





Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus




Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.





Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya ( Pendahuluan Jenis Persoalan)






Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?





Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan" (Pendahuluan Jenis Peribahasa)





Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.





Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak ( Pendahuluan Jenis Sejarah)





Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?