Bentuk kata 'ada'
sebagai kata penegas
KATA penegas tergolong dalam golongan kata tugas.
Kata penegas disebut juga partikel.
Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan
penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
Ayat yang mengandungi kata penegas ialah ayat penegas
kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara.
Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya
kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu
, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan
dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.
Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat,
dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang
(penegas frasa subjek dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada
juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.
Sebagai kata penegas, ada menjadi unsur dalam
binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada
dinamai ayat penegas.
Perhatikan penggunaan kata penegas ada
dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1. Saya / ada bersamanya ketika kejadian itu terjadi.
2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.
Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada yang menjadi
unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan
kesungguhan sesuatu hal yang hendak diperkatakan.
Hal demikian itu terkandung dalam makna
frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya
dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja,
maka kata penegas ada dapat digunakan.
Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama,
frasa adjektif dan frasa sendi nama?
Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama,
kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel -lah
di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.
Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu,
kata adalah ialah kata pemeri.
Fungsi kata pemeri tidak lain daripada tugasnya sebagai
unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai
antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.
Dengan kata lain, maksud pemerian merupakan suatu penegasan juga.
Hal yang demikian ini dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh
seperti yang berikut:
3. Komputer riba ini adalah untuk anak bongsunya.
(adalah diikuti oleh frasa sendi nama dan penegas frasa sendi
nama "untuk anak bongsunyanya")
4. Kenyataan saksi perbicaraan itu adalah benar.
(adalah diikuti oleh frasa adjektif dan penegas frasa adjektif "benar")
Untuk frasa nama, kata pemeri ialah bukan adalah digunakan
kerana penggunaan ialah dapat menunjukkan pemerihalan
secara persamaan atau akuatif.
Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir
di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:
5. Wanita itu ialah pramugari.
(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama "pramugari")
Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan
dengan kata ada dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah.
Partikel -kah pada kata ada, dan ia bertujuan semata-mata untuk
menegaskan hal yang ditanyakan.
Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara
kata penegas tanya itu digunakan:
6. Adakah Syahmi datang ke sini?
Ya, Syahmi ada datang ke sini.
7. Adakah berita itu benar?
Ya, berita itu adalah benar.
8. Iakah lelaki itu abangmu?
Ya, lelaki itu ialah abangku.
Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh
dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah.
Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang
menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya berikut:
9. Apakah keluarganya merestui perkahwinanmu?
Seharusnya: Adakah keluarganya merestui perkahwinanmu?
10. Apakah orang itu mantan merinyu polis?
Seharusnya: Iakah orang itu merinyu polis?
11. Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?
Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?
Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang
berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130204/pe_03/Bentuk-kata-ada-sebagai-kata-penegas#ixzz2KO1b5j9B
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment