Tatacara penggunaan
kata adjektif berkaitan perasaan
Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.
Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:
1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.
(b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.
2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.
(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.
3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.
(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.
4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.
(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.
(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.
Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.
Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.
Oleh yang demikian,
salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:
1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..
2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.
3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.
4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.
Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.
Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.
Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.
Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:
5. Latifah rindu akan kekasihnya.
6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.
7. Rosnita merindukan kampung halamannya.
Frasa sendi rindu akan tidak boleh
menjadi *rindukan seperti dalam ayat:
(9) *Pungguk rindukan bulan.
Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu
tidak dapat menerima akhiran -kan
(semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu
melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu
perlu menerima kata sendi 'akan'.
Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat
(10) Pungguk merindukan bulan.
Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.
Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.
Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:
(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.
dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.
Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:
(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.
Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah
(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.
Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.
Perhatikan perbezaan
ketiga-tiga ayat berikut ini:
(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.
(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.
(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.
Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan.
Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.
Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130218/pe_02/Tatacara-penggunaan-kata-adjektif-berkaitan-perasaan#ixzz2LnUzSvDB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment