Ubat malas belajar
TRANSFORMASI PENDIDIKAN
oleh
Dr Ismail Zain
MALAS dialami oleh
semua orang terutamanya dalam kalangan murid-murid sekolah. Malas
melibatkan perasaan bosan yang menyekat seseorang itu daripada bertindak
melakukan sesuatu aktiviti yang berfaedah.
Orang yang malas terasa
dirinya kurang bertenaga, tidak ceria, tidak tahu apa hendak dilakukkannya
dan tidak suka melakukan sesuatu itu dengan sepenuh hati.
Bagi golongan murid
sekolah antara punca seseorang itu malas belajar ialah terlalu lama bercuti
tanpa memberi perhatian pada pelajaran. Keadaan ini termasuklah pada
hari pertama setiap minggu persekolahan setelah bercuti selama dua hari di
hujung minggu.
Selain itu perasaan
malas juga akan dialami jika seseorang itu terlalu lama dibuai dengan hiburan
termasuklah permainan video atau permainan elektronik lain yang canggih dan
melekakan.
Keadaan ini harus
dibendung agar tidak terus menular ke jiwa murid yang akan berakhir
dengan kegagalan dalam pelajaran. Beberapa tindakan dalaman dan luaran
harus diambil untuk menjadi ubat kepada penyakit malas belajar.
Jati diri bermaksud
seseorang itu harus cekal dan mampu bersedia untuk melawan nafsu ke atas apa
sahaja perkara negatif yang melanda dirinya. Hal ini bermakna ia harus
berfikir sendiri tanpa melayani perasaan tentang kebaikan atau keburukan sesuatu
tindakan yang akan diambilnya nanti.
Dalam hal ini,
pengorbanan dan komitmen amatlah penting dan menjadi asas pada amalan jati
diri. Jati diri ini akan terbina dalam jiwa jika seseorang itu tahu
tentang hala tuju kehidupannya.
Ketidaktentuan dalam
melaksanakan sesuatu tindakan kebiasaannya disebabkan oleh ketiadaan jadual
waktu persendirian. Jadual waktu persendirian merujuk kepada penstrukturan
masa mengikut aktiviti yang hendak dilakukan termasuk masa belajar, masa
rehat, masa bermain dan sebagainya.
Jadual ini memudahkan
murid membahagikan masa mengikut aktiviti yang dirancang secara sistematik.
Dengan adanya jadual seumpama ini murid mampu memaksimumkan ruang penggunaan
masa dengan pelaksanaan aktiviti yang dirancang di samping berupaya
mengelakkan rasa malas dalam diri mereka.
Apa tujuan saya
belajar?. Apa cita-cita dan minat saya? Ke mana arah dan tujuan saya?. Apa
akan terjadi pada saya setelah saya dewasa? Apa bidang kerjaya yang ingin
saya ceburi?.
Semua itu adalah
sebahagian daripada soalan yang harus dilontarkan oleh seseorang murid kepada
dirinya. Soalan-soalan tersebut sekurang-kurangnya dapat menyedarkan
tanggungjawabnya dalam menghadapi pelajaran.
Ada juga golongan murid
yang lebih berminat belajar bersama rakan-rakan dalam kumpulan. Hal ini
merupakan salah satu ciri-ciri gaya belajar. Oleh itu pilihlah rakan-rakan
yang sesuai untuk membentuk kumpulan belajar.
Bagi murid yang
tergolong dalam ciri-ciri ini, belajar secara kumpulan dapat
mengurangkan rasa bosan dan malas berbanding dengan belajar secara
sendirian. Walau bagaimanapun anggota kumpulan haruslah membuat
persiapan terlebih dahulu seperti menentukan tugasan yang hendak dilakukan,
bahan yang perlu dibawa dan jangka masa yang hendak digunakan.
Tanpa persiapan
seumpama ini, berkemungkinan besar anggota kumpulan akan melakukan perkara
yang tidak berfaedah seperti berbual kosong, bermain dan sebagainya
sehinggakan menjejaskan tujuan sebenar mereka berada dalam kumpulan tersebut.
Setiap tindakan harus
disegerakan tanpa bertangguh-tangguh untuk mengelakkan daripada
lambakan kerja. Lambakan kerja merupakan salah satu faktor seseorang itu akan
menjadi malas.
Oleh itu setiap kerja
yang diberikan harus dilakukan segera mengikut keutamaan. Jika menghadapi
sebarang masalah tindakan segera juga harus diambil untuk menyelesaikannya.
Sebenarnya kegagalan
yang kita alami bukannya disebabkan perkara itu susah tetapi penyakit malas
yang menular dalam jiwa kitalah yang menjadi penyebabnya. Begitu juga
banyak perkara yang tidak dapat dilaksankan pada hari ini bukannya disebabkan
masa tidak mencukupi tetapi disebabkan rasa malas kita untuk bertindak.
Marilah kita ubati penyakit malas ini!
|
No comments:
Post a Comment