Tuesday, December 11, 2012

Kata Arah




KATA ARAH



Kata arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan arah, hala atau jurusan. Dari segi penggunaan, kata arah biasanya didahului oleh kata sendi di, dari, dan ke. Yang berikut ialah contoh kata arah yang biasa digunakan dalam bahasa Melayu. 
 

antara, hujung, sebalik, sisi,

atas, kanan, sebelah, sudut,
barat, kiri, seberang, tengah,
belakang, luar, segi, tepi,
dalam , pangkal, sekeliling, timur,
hadapan, samping, selatan, utara 




Perhatikan penggunaan kata arah dalam ayat-ayat di bawah ini.


1. Ular sawa itu menyusur dari tepi tasik yang terbiar itu.

 
2. Ayah menyimpan guni-guni padi itu di belakang rumah.

3. Pak Abu mencampakkan sampah sarap itu ke dalam perigi buta itu.

4. Aida mengalihkan pasu bunganya itu ke sebelah almari perhiasan di ruang tamu.

5. Dari kanan jalan besar itu kami dapat melihat pekerja-pekerja telekom itu sedang memasang kabel.

6. Abang Razak membawa bangkai buaya itu ke tepi tebing sungai. 

7. Sebutir bom lama ditemukan oleh pekerja binaan itu ketika dia sedang berehat di pangkal pokok jambu itu. 

8. Di hujung jalan sana, akan didirikan sebuah pondok tempat menunggu bas. 

9. Ibu menyimpan ikan salai itu di atas para-para di dapur rumah. 

10. Kereta api mel Senandung Malam itu bergerak menuju ke selatan Semenanjung Malaysia. 


• Dari segi penggunaan dan dalam penulisan, kata arah mesti didahului
 kata sendi di, ke, dan dari. 

Contoh: 

1. Kereta yang terlibat dalam pelanggaran itu terjunam ke dalam gaung yang dalam itu. 

2. Puan Mariah menyuruh orang gajinya mencampakkan tulang ikan dan tulang ayam itu ke
dalam longkang di belakang rumahnya itu.

Sunday, December 9, 2012

Kata Pemeri



Kata Pemeri


Kata pemeri bertugas merangkaikan frasa utama dalam predikat dengan frasa subjek.

Dalam bahasa Melayu, terdapat dua jenis kata pemeri, iaitu ialah dan adalah.



ialah adalah
Digunakan sebelum predikat untuk menandakan persamaan antara frasa subjek dean frasa utama dalam predikat. contoh: Tindakan kerajaan menetapkan mata wang ialah usaha melindungi ekonomi negara daripada serangan luar.
Digunakan sebelum predikat sebagai huraian bagi frasa subjek.Frasa predikat biasanya menjawab soalan ``apakah''  Contoh: Makanan seimbang adalah makanan yang diambil secara sederhana serta pelbagai jenis.

Wednesday, December 5, 2012

Ayat Majmuk





Setelah beberapa hari mengumpulkan maklumat mengenai ayat majmuk,
akhirnya inilah hasilnya.  Sebenarnya, ada banyak lagi bahan yang lain tapi 
bahan yang ada ini cikgu rasakan ianya mudah difahami dan perlu dikongsi bersama 
anak dan anak-anak didik cikgu apa yang cikgu baca itu.   Semoga apa yang cikgu 
baca ini juga akan dapat memberi manfaat kepada anak dan anak-anak didik cikgu   
Selamat membaca dengan penuh rasa hati agar mendapat kefahaman yang lebih  :)
 
 
       

AYAT MAJMUK



Dalam pembentukan wacana bahasa Melayu, 
khususnya untuk laras akademik, ayat majmuk paling banyak digunakan.


 Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ayat majmuk dibina
 dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih mengikut cara tertentu. 
Oleh hal yang demikian, ayat majmuk ialah ayat yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal.
Ayat majmuk juga dapat didefinisikan sebagai ayat yang terhasil daripada proses peluasan. Proses peluasan bermaksud penambahan unsur tertentu dalam ayat asal, iaitu ayat tunggal, yang menyebabkan ayat itu mengalami pertambahan maklumat. 
Peluasan atau pertambahan maklumat itu terjadi dengan penggunaan kata hubung.


1.(a) Dia sangat kaya.

1.(b) Dia tidak sombong.



Kedua-dua ayat di atas ialah ayat tunggal.

 Apabila kedua-dua ayat itu dicantumkan, akan terhasillah ayat majmuk yang berikut:



1.(c) Dia sangat kaya tetapi dia tidak sombong.



Ayat baharu ini dipanggil ayat majmuk kerana mengandungi dua ayat tunggal 
yang dicantum dengan menggunakan kata hubung tetapi


Ayat tunggal (1.a) mengandungi satu maklumat sahaja, iaitu “kaya”
Setelah dicantumkan dengan ayat tunggal (1.b) yang mengandungi satu maklumat lain, 
iaitu “tidak sombong”, ayat yang baharu terbentuk 1.(c) itu kini mempunyai dua maklumat. Dengan hal yang demikian, ayat 1.(c) telah mengalami peluasan.





 
 
 
 
 
 
 
 Ayat Majmuk Gabungan
 
 
 
Ayat majmuk gabungan ialah
 ayat yang dibina oleh dua atau lebih klausa bebas  
dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, 
 tetapi, serta, lalu  dan sebagainya.
Koma mungkin digunakan jika
 gabungan terdiri daripada tiga atau lebih klausa.




Cuba teliti contoh di bawah.




1.Aminah pandai menyanyi dan menari. 

2. Aminah pandai menyanyi.

3. Aminah pandai menari. 



Ayat yang (1) berasal daripada ayat (2) dan (3).

Kedua-dua ayat (2) dan (3) dihubungkan dengan menggunakan kata hubung dan.

Klausa (2) dan (3) sama tarafnya iaitu klausa utama.




Lihat contoh berikut pula:





1) Pengetahuan beliau sempit, kupasan-kupasannya cetek, serta contoh-contohny pula tidak menarik.

2) Pengetahuannya sempit.

3) Kupasannya cetek.

4) Contoh-contohnya pula tidak menarik. 





Ayat (1) berasal daripada daripada ayat-ayat (1), (2) dan (3).


Ketiga-tiga ayat digabungkan menjadi satu ayat dengan
 menggunakan koma dan kata hubung ``serta.''


Semua klausa sama tarafnya, iaitu klausa utama.


Ayat majmuk gabungan boleh jadi ayat yang mengandungi fakta
 yang sejajar atau fakta yang bertentangan .


Untuk fakta yang bertentangan, kata hubung seperti dan, serta, tambahan, 
pula, sambil dan sebagainya digunakan.


Untuk fakta yang bertentangan, kata hubungan seperti tetapi, sebaliknya, 
padahal dan sebagainya digunakan .




Sumber : http://www.tutor.com.my






Tuesday, December 4, 2012

Belajar Bina Ayat Melalui Video ;)

Kata Tanya

 


Kata Tanya


Kata tanya digunakan untuk bertanya atau menyoal sesuatu.

 Kata tanya hadir di dalam predikat. 

 Jika predikat didepankan, maka kata tanya hendaklah disertai oleh partikal –kah. 

Lihat contoh-contoh berikut: 


 

 Harga rumah baru kamu  berapa?
Berapakah harga rumah baru kamu?


Kemalangan itu berlaku bagaimana?
Bagaimanakah kemalangan berlaku?





Sumber : http://www.tutor.com




1. MAKSUD:

 
Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu 
 dan diakhiri dengan tanda soal (?)


 

2. JENIS KATA TANYA:

 

Jenis dan Fungsi kata tanya
 

Apa - Untuk binatang, benda, perkara, tidak pasti (lembaga / hantu dll)

 
Siapa - Untuk manusia
 
Mana - Untuk tempat, kedudukan
 
Bila - Untuk masa, zaman, waktu
 
Berapa - Untuk jumlah, harga
 
Mengapa - Untuk sebab (lebih tepat berbanding ‘kenapa’)
 
Kenapa - Untuk sebab
 

Bagaimana - Untuk cara, keadaan, langkah Macamana - Untuk cara, keadaan, langkah, punca
 



3. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA TANYA:

 


a. Ayat tanya boleh terhasil walaupun tanpa menggunakan
 ‘kata tanya’ tetapi mestilah ada tanda tanya ( ? ).
Betul:
 
-Suasana pada hari ini sungguh ceria dan tenang sahaja ?
 
-Nama bapa saudara awak ialah Haji Kamaruddin bin Ishak?

 


b. Penegas ‘kah’ tidak boleh diletakkan di bahagian akhir ayat tanya.
(letak di hadapan atau tengah)
Salah:
 
-Semalam awak tidak hadir, mengapakah?
 
-Awak akan melancong ke sana, bilakah?

Betul:
 
-Semalam awak tidak hadir, mengapa?
 
-Mengapakah awak tidak hadir semalam?
 
-Awak akan melancong ke sana, bila?
 
-Bilakah awak akan melancong ke sana?

 

c. Kata tanya tidak boleh digunakan jika ayat itu bukan ayat tanya.
(tukar dengan menyebut ‘fungsinya’)

Salah:
 
-Saya terkejut bila melihat lelaki itu menumbuk muka awak.
 
-Pelanggan itu ingin mengetahui berapa harga ikan tersebut.
 
-Kami ingin mengetahui di mana anda tinggal sekarang.
 
-Kami tidak tahu bagaimana anda boleh terjatuh ke dalam longkang itu. 


Betul:
 
-Saya terkejut apabila melihat lelaki itu menumbuk muka awak.
 
-Pelanggan itu ingin mengetahui harga ikan tersebut.
 
-Kami ingin mengetahui tempat anda tinggal sekarang.
 
-Kami tidak tahu punca anda boleh terjatuh ke dalam longkang itu.

 

d. ‘apa’ tidak boleh digunakan untuk manusia. 
‘siapa’ tidak boleh digunakan untuk binatang.
Salah:
 
- Apakah nama anak lelaki Encik Kamil yang baru menjadi doktor itu?
 
-Siapakah nama kucing awak yang comel sungguh itu?

Betul:
 
- Siapakah nama anak lelaki Encik Kamil yang baru menjadi doktor itu?
 
-Apakah nama kucing awak yang comel sungguh itu?

 

e. Kata tanya boleh digunakan dalam ayat yang bukan ayat tanya 
dengan syarat telah digandakan.
Salah:

-Awak boleh bertanya
apa soalan kepada saya sebelum saya balik.
 
-Awak juga boleh berjumpa dengan saya pada bila masa pun.
 
-Mana pelajar yang masih berdegil akan menerima hukuman.

Betul:
 
-Awak boleh bertanya apa-apa soalan kepada saya sebelum saya balik.
 
-Awak juga boleh berjumpa dengan saya pada bila-bila masa pun.
 
-Mana-mana pelajar yang masih berdegil akan menerima hukuman.

 

f. ‘Mengapakah’ dan ‘bagaimanakah’ lebih tepat penggunaannya daripada ‘kenapakah’ dan ‘macamanakah’.
Betul:
 
-Mengapakah awak tidak hadir?
(ini lebih tepat)
 
-Bagaimanakah awak sampai ke sini?
(ini lebih tepat)
 
-Mengapa/ Kenapakah/ kenapa awak tidak hadir?
(ikut susunan mana yang lebih tepat)
 
-Bagaimana/ Macamanakah/ macamana awak sampai ke sini?
(ikut susunan mana yang lebih tepat)

 


g. Jika kata tanya diletak di hadapan ayat, partikal kah mesti diletak.
Salah:
 
- Mengapa awak tidur di lantai?
 
-Bila awak tiba di sini?

Betul:
 
- Mengapakah awak tidur di lantai?
 
-Bilakah awak tiba di sini?






Frasa Nama




FRASA NAMA





Frasa nama ialah panggilan yang digunakan untuk manusia, 
haiwan, benda dan unsur abstrak, baik dalam bilangan  tunggal atau jamak
jantan atau betina. Ia mungkin terdiri daripada satu patah perkataan sahaja 
ataupun sederetan perkataan. Ia adalah antara empat kategori frasa 
yang terdapat dalam bahasa Melayu dan mempunyai fungsi yang banyak 
dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini
 penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana
 frasa dan ayat yang gramatis.
 
 

Ciri-ciri

 

Frasa nama (FN) boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu
 ia boleh didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan.
 Contoh FN ydoh bilangan didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan
 ialah (1) yang berikut.


(1) contoh:
a. Seorang pelajar.
 
b. Tiga ekor kucing.
 
 
Dalam (1), FN “pelajar” (1a), “kucing” (1b) dan “rumah” (1c) masing-masing
 didahului oleh kata bilangan “se”, “tiga” dan “sepuluh”,
 dan penjodoh bilangan “orang”, “ekor” dan “buah”.

Ciri lain FN ialah ia boleh diikuti oleh kata tunjuk
Contoh FN yang diikuti oleh kata tunjuk ialah (2) yang berikut.


(2) contoh:
a. Pelajar itu.
 
b. Tiga ekor kucing ini.
 
c. Sepuluh buah rumah itu.
 
 
Dalam (2), FN “pelajar” (2a), “tiga ekor kucing” (2b) dan
 “sepuluh buah rumah” (2c) masing-masing diikuti oleh kata tunjuk “itu” dan “ini”.


Mengenai kehadiran kata bilangan, penjodoh bilangan dan kata tunjuk ini,
 tiga perkara perlu diberi perhatian. Pertama, kata bilangan “se” (satu)
 mesti disertai oleh penjodoh bilangan (3a-c) 
tetapi tidak demikian halnya dengan kata bilangan lain (4a-c).


(3) contoh:
a. Seorang pelajar.
a’. *Satu pelajar.
 
b. Seekor kucing.
b’. *Satu kucing.
 
c. Sebuah rumah.
c’. *Satu rumah.
(4) contoh:
a. Dua orang pelajar.
a’. Dua pelajar.
 
b. Tiga ekor kucing.
b’. Tiga kucing.
 
c. Sepuluh buah rumah.
c’. Sepuluh rumah.
 
 
Kejanggalan (3a’-c’) menunjukkan bahawa penjodoh bilangan 
mesti hadir bersama kata bilangan “se” (satu) dalam pembentukan FN. 
Sebaliknya kejituan (4a’-c’) menunjukkan bahawa kehadiran penjodoh bilangan 
hanya bersifat pilihan bagi kata bilangan selain “se” (satu).


Kedua, FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) 
dan penjodoh bilangan tidak boleh lagi menerima kehadiran kata tunjuk (5a-c) 
tetapi tidak demikian halnya dengan FN yang menerima kata bilangan lain (6a-c).


(5) contoh:
a. *Seorang pelajar itu.
 
b. *Seekor kucing ini.
 
c. *Sebuah rumah itu.
(6) contoh:
a. Dua orang pelajar itu.
 
b. Tiga ekor kucing ini.
 
c. Sepuluh buah rumah itu.
 
 
Kejanggalan (5a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk tidak boleh hadir 
pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu)
 dan penjodoh bilangan. Sebaliknya kejituan (6a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk 
boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan selain 
“se” (satu) dan penjodoh bilangan.


Ketiga, FN yang dihitung dalam bentuk kumpulan (7a), timbangan (7b),
 ukuran (7c) dan sukatan (7d) tidak boleh menerima kehadiran penjodoh bilangan.


(7) contoh:
a. Sekumpulan pelajar.
a’. *Sekumpulan orang pelajar.
 
b. Sekilo daging lembu.
b’. *Sekilo ketul daging lembu.
 
c. Sepuluh meter kain.
c’. *Sepuluh meter helai kain.
 
d. Segantang beras.
d’. *Segantang biji beras.
 
 
 

Fungsi dalam Ayat

 

FN mempunyai pelbagai fungsi dalam binaan ayat. 
Tiga fungsi utamanya adalah sebagai subjek, predikat dan objek 
kata kerja transitif. Fungsinya yang lain adalah sebagai pelengkap 
kata kerja tak transitif dan unsur keterangan.

 

Sebagai Subjek


(8) Siti pergi ke sekolah.

“Siti” dalam (8) ialah FN yang berfungsi sebagai subjek ayat. 
(9a-e) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi
 sebagai subjek ayat.


(9) contoh:

 
a. Abangnya juruterbang.
 
b. Osman penyanyi terkenal.
 
c. Pukulannya sungguh kuat.
 
d. Kami pelajar tingkatan enam.
 
e. Ini kawasan bangunan Parlimen.
Nota: Subjek ayat mesti terdiri daripada FN.


Sebagai Predikat

 

(10) Siti pelajar USM.

“Pelajar USM” dalam (10) ialah FN yang berfungsi sebagai predikat ayat. 
(11a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai predikat ayat.

(11) contoh:

a. Beliau Pengarah Pendidikan Negeri.
 
b. Ahmad guru.
 
c. Budak itu murid saya.
 

Sebagai Objek Kata Kerja Transitif

 

(12) Siti memandu kereta.

“Kereta” dalam (12) ialah objek kata kerja transitif “memandu”.

Nota: Objek kata kerja tak transitif mesti terdiri daripada FN atau klausa
(13) ialah contoh objek kata kerja transitif (berhuruf tebal) yang terdiri 
daripada klausa.
(13) Dia menegaskan bahawa masalah ini mesti diselesaikan dengan segera.

Sebagai Pelengkap Kata Kerja Tak Transitif

 

(14) Siti menjadi pensyarah USM sejak 10 tahun lalu.

“Pensyarah USM” dalam (14) ialah pelengkap kata kerja tak transitif “menjadi”. 
(15) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai
 pelengkap kata kerja tak transitif.


(15) Hang tuah bersenjatakan keris Taming Sari.


Nota: Hanya sebilangan kecil pelengkap kata kerja tak transitif yang
 terdiri daripada FN. Pelengkap berbeza daripada objek kata kerja transitif
 kerana ia tidak boleh melalui proses pemasifan.

 

Sebagai Unsur Keterangan

 

(16) Mereka bermain bola di padang.

“Bola” dalam (12) ialah keterangan bagi kata kerja “bermain”. 
Sebagai unsur keterangan, Kehadiran FN adalah tidak wajib. Dengan kata lain, tanpa kehadiran “bola”, ayat (16) tetap gramatis.


(16’) Mereka bermain di padang.


(17a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi
 sebagai keterangan ayat.

(17) contoh:

a. Kanak-kanak itu berbaju Melayu.
 
b. Kegemarannya bermain bola.
 
c. Mereka belajar bahasa Jepun.
 
 

Perkara-perkara penting mengenai FN

 

FN yang berfungsi sebagai predikat ayat tidak boleh menerima
 kehadiran kata bilangan dan penjodoh bilangan.


(18) contoh:
a. *Beliau seorang Pengarah Pendidikan Negeri.
 
b. *Ahmad seorang guru.
 
c. *Budak itu seorang murid saya.
Sebaliknya FN yang berfungsi sebagai predikat ayat mempunyai 
ciri FK, iaitu ia boleh menerima kehadiran kala. 
Contohnya ialah (19a-c) yang berikut:


(19) contoh:
a. Kamu akan dewasa suatu hari nanti.
 
b. Siti sudah remaja.
 
c. Mereka masih suami isteri.
 
Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui mengenai FN 
yang berfungsi sebagai predikat ayat adalah berkenaan penggunaan
 kata pemeri “ialah”. Dalam ayat yang predikatnya ialah FN (berhuruf tebal), 
“ialah” boleh disisipkan antara subjek dengan predikat. 
Contohnya ialah (20a-c) yang berikut:


(20) contoh:
 
a. Beliau ialah pelajar universiti.
 
b. Kucing ialah haiwan kesayangan.
 
c. Itu ialah rumah tradisional Melayu.
 
Dalam (20), “pelajar universiti”, “haiwan kesayangan” dan “rumah tradisional Melayu”
 ialah FN yang masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat (20a), (20b) dan (20c). 
Oleh sebab itu, kata pemeri “ialah” boleh hadir di hadapan FN ini. 
Sebaliknya satu lagi kata pemeri, iaitu “adalah”, tidak boleh hadir
 dalam ayat sebegini (berpredikat FN).


(20) contoh:
a’. *Beliau adalah pelajar universiti.
 
b’. *Kucing adalah haiwan kesayangan.
 
c’. *Itu adalah rumah tradisional Melayu.
 
 
Perkara seterusnya adalah mengenai penggunaan kata relatif “yang”
 dalam pembentukan sesuatu FN. Ada kalanya kehadiran kata relatif itu 
adalah wajib untuk membentukkan FN (berhuruf tebal) yang gramatis. 

Contohnya (21a-b) yang berikut:


(21) contoh:
a. Ikan mengandungi protein yang banyak.
 
b. Orang yang suka membaca luas pengetahuan.
 
 
Dalam (21), kehadiran “yang” dalam pembentukan FN “protein yang banyak” 
dan “orang yang suka membaca” adalah wajib. Tanpa kehadirannya, 
 FN yang dibentukkan, iaitu “protein banyak” (21a’) dan “orang suka membaca” 
(21b’), adalah tidak gramatis. Sebagai akibatnya ayat yang dijana (21a’-b’) j
uga tidak gramatis.


(21) contoh:
 
a’. *Ikan mengandungi protein banyak.
 
b’. *Orang suka membaca luas pengetahuan.
 
 
Ada kalanya pula kehadiran “yang” boleh menghilangkan kejanggalan 
dalam pembentukan FN (berhuruf tebal). Contohnya ialah (22a-b) yang berikut:


(22) contoh:
a. ?Rumah sangat besar itu tidak berpenghuni.
 
b. Rumah yang sangat besar itu tidak berpenghuni.
 
 
Dalam (22), ayat (22a) agak janggal tanpa kehadiran “yang”. 
Kehadiran “yang” dalam ayat (22b) dapat menghilangkan kejanggalan ini.


Ada kalanya pula penggunaan “yang” tidak mempunyai kesan dari
 segi kegramatisan FN yang dibentukkan. 

Oleh itu FN (berhuruf tebal) dan seterusnya ayat yang dijana 
tetap gramatis sama ada dengan atau tanpa kehadiran “yang”. 
Contohnya ialah (23a-b) yang berikut:
(23) contoh:


a. Rumah besar itu tidak berpenghuni.
 
b. Rumah yang besar itu tidak berpenghuni.
 
Kedua-dua FN iaitu “rumah besar itu” dan “rumah yang besar itu” 
 adalah gramatis. Sebagai hasilnya kedua-dua ayat (23a-b) 
yang dijana juga gramatis.
Walau bagaimanapun ada kalanya penggunaan “yang” akan 
menyebabkan FN (berhuruf tebal) yang dibentukkan tidak gramatis. 
Contohnya ialah (24a-b) yang berikut:


(24) contoh:
a. Budaya suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.
 
b. *Budaya yang suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.
 
Dalam ayat (24a), FN “budaya suka membaca” adalah gramatis,
 lalu menghasilkan ayat yang gramatis juga. 


Sebaliknya ayat (24b) tidak gramatis kerana FN
 “budaya yang suka membaca” tidak gramatis.


Sumber : http://wikipedia.org